19 April 2011

CERITERA KEHIDUPAN

Cinta
Suatu petang , seorang anak muda bersama pakciknya memancing di sebuah sungai. Keindahan petang itu, disulami dengan kicauan burung sungguh menggamit perasaan. Mereka berdua hanyut dibuai perasaan masing-masing, senyap tanpa senda gurau dari mereka berdua. Di kala itu, anak muda ingin mengetahui satu perkara yang kini kusut difikirannya.

“pakcik, apa yang paling penting ye pasal perkahwinan ni? ” kekusutan yang cuba dirungkaikan dari fikirannya diluahkan kepada pakciknya.

Pakciknya melihat wajah anak muda ini,memerhati segenap ceruk wajah anak muda yang kian meningkat usia, soalannya yang menggambarkan perasaan ingin tahu yang sangat tinggi terhadap satu instiusi yang sangat penting dalam sesebuah masyarakat.

Pakciknya kembali merenung pancingnya, sambil bernafas dalam-dalam ,cuba untuk meluahkan apa yang sepatutnya.

“wan, perkahwinan ni besar tanggungjawabnya.  Kamu, bila berkahwin nanti, didiklah isteri kamu agar cinta pada Allah. Didikan kamu ini padanya tentang perkara ini sangat penting. Jika cintanya pada Allah melebihi cintanya pada kamu, maka kehidupan kamu berdua, insyaallah akan berjalan lancar.”

‘Macam mana tu ye pakcik?’

Pakcik itu menatap wajah muda disebelahnya, tangannya diletakkan dibelakang badan anak muda itu dan digosok lembut, sambil dengar suara yang lembut pakcik itu meneruskan kata-katanya :

“erm..Kita ni wan, hidup tak lama, kita tak tahu bila kita akan dicabut nyawa. Jika kita tanamkan dalam jiwa isteri kita cinta pada Allah, maka segala pergantungannya akan diserahkan sepenuhnya pada Allah. tapi jika kamu didik isteri kamu hanya cinta pada kamu, bila kamu ditarik nyawa nanti, isteri kamu akan hilang tempat pergantungan. Dia akan rasa terlalu kosong jiwanya. Seolah-olah dunia ini sudah tidak punya apa. Lain jika jiwanya penuh dengan cinta pada Allah, masa tu dia sedar, bahawa orang disisinya sudah dijemput kembali, dan dia sedar bahawa barang pinjaman yang diberikan padanya Tuannya sudah ambil kembali.

Di masa tu , jiwanya akan terus tenang, walaupun kesedihan masih terpaut di jauh sanubarinya. Dan kesedihan itu akan mudah terubat kerana cintanya pada Allah membuatkan di sedar segalanya adalah Allah sedang menguji cintanya.

Dan keduanya, jika kamu didik isteri kamu cinta pada Allah, kamu akan dapati isteri kamu akan sentiasa bersamamu di kala mana kamu berada. Sama ada kamu sempit, susah atau senang. Jika kamu susah, dalam jiwanya akan sedar, bahawa Allah sedang menguji cintanya padanya. Allah sedang melihat pada dirinya. Dan dia akan melaluinya dengan penuh rasa sabar dan syukur bersama kamu.Dia tidak akan membuatkan kamu terasa beban dikala bersamanya, dan dia akan sentiasa menjadi tongkat pada kamu.

Tetapi jika kamu didik isteri kamu cinta hanya pada kamu, kamu akan lihat, ketika kamu susah , dikala kamu kesempitan, dia akan membuatkan jiwa kamu semakin sempit, dia akan mengungkit dimana janji-janji kamu ketika mula-mula kamu hendak membahagiakannya. Dia akan berfikir bahawa kamu tidak berusaha untuk terus membiarkannya dia hidup selesa.

Wan, didikan kamu kepada cinta pada Allah perlu bermula pada diri kamu. Tingkatkan penghayatan diri kamu pada cinta pada Allah, nescaya tika kamu mula melangkah pada alam perkahwinan nanti, Allah akan permudahkan kamu mendidik isteri kamu. Kamu cinta pada Allah, Allah akan berikan jalan keluar dan petunjuk pada kamu ketika mana kamu hilang pedoman.”
——————————————————————————————
Harapan
Di sebuah klinik, kelihatan seorang pesakit telah diperiksa oleh seorang doktor. Ketika selesai segala maklumat terperinci diberikan doktor itu kepada pesakitnya, mata si pesakit sedikit bergenang. Ada perasaan terkilan, sedih , gusar segalanya bercampur baur. Doktor sedari tadi, hanya memerhati dan menunggu respon dari pesakitnya yang sudah sekian lama dirawatnya.

Setelah beberapa minit, perasaan si pesakit sudah mulai tenteram, dia mula mendongakkan kepalanya dan melihat doktornya sambil cuba menyusun ayat.

“doktor, mungkin ini bukan berkaitan dengan sakit yang saya lalui. sekadar mahu bertanya, mengapa dalam dunia ni, kadang-kadang kita rasa punya ramai teman, ramai kawan juga sahabat, tetapi mengapa tika kita sakit, seolah-olah kita hanya bersendirian, orang yang kita rasa paling rapat terkadang mengecewakan kita. Saya kadang rasa macam tiada siapa memahami saya. Seolah saya yang bersalah. Perit doktor, perit jiwa saya menanggung. Bilakah sakit saya ni boleh sembuh agar tiada lagi orang menyalahkan saya?” keluhan berat dari jiwa pesakit menunjukkan kegalauan hatinya, resah gelisah sedih.

Doktor cuba memahami keadaan pesakitnya. Dia tahu, ujian paling berat bagi seorang pesakit bukanlah sakit yang ditanggungnya,sakitnya boleh terus dilalui selagi mana ada orang yang terus menyokongnya. Terus bersamanya. tetapi jika sakit yang ditanggung hanya ditanggung seorang tanpa teman yang memahami, itu lebih perit. Doktor seolah hilang kata-kata. Dilihat wajah pesakitnya dengan perasaan kasihan dan simpati, cuba mencari-cari kata-kata yang  boleh meningkatkan kembali harapan si pesakit.

“kak, masa ni merupakan masa paling berharga bagi akak. Saya tidak tahu mahu bagaimana berkata. Bagi saya, masa ni Allah sedang menguji kita. Dia mahu kita sedar bahawa tempat pergantungan kita hanya padaNYA. Mungkin ketika kita sihat, kita merasa bahawa teman-teman disekeliling adalah segalanya bagi kita. Allah sedang mahu kembalikan kita padaNYA.

Dia mahu kita betul-betul serah segala pergantungan padanya. Kak, teruskanlah bersabar, insyaallah, satu masa nanti, bila hati kita bulat betul pada Allah, Allah akan beri apa yang sepatutnya pada kita. Ketika ini, dekatkan lagi diri kita pada Allah, apa yang akak buat, ingat Allah sentiasa ada bersama. Allah sahaja harapan kita kak selain dari usaha kita. Dia tempat mengadu, dia tempat kita menyeru, Dia yang Memberi dan dia juga mengambil kembali. Maaf kak, saya tidak tahu mahu kata apa selain ini.”

Si pesakit merasa terpujuk dengan kata-kata doktornya. Memang harga yang terlalu mahal baginya sakit ini, hanya kerana Allah mahu dia kembali padanya. Sungguh dia merasa ianya satu titik pulang pada Allah.

‘takpe takpe doktor.. mungkin salah saya sendiri, hanya mencari manusia untuk meluahkan apa yang terbuku. mungkin sudah tiba masa saya terus menerus lebih banyak mengadu pada Allah , mudah-mudahan hati saya lebih terpujuk.’ sayu suara si pesakit meluahkan apa yang dirasainya.
—————————————————————————————————
Tanggungjawab
DI suatu majlis hari raya di sebuah kedutaan Malaysia,kelihatan juadah yang ada sungguh menarik minat hadirin yang tiba. Pelbagai juadah disediakan di atas meja hidangan. Ketupat, bergedil, satay, ayam , sup, kuah kacang, buah-buahan , kek-kek lapis, kuih muih.

Di satu penjuru majlis itu, dua orang pemuda rancak berborak, kemesraan jelas terpancar dari reaksi mereka. Sambil itu seorang lagi pemuda berjalan mendekati mereka sambil membawa sepinggan juadah yang dipenuhi dengan kuih muih dan kek.

“haa, korang, cuba rasa apa yang aku bawa ni. Bagitau aku mana yang sedap” ujar pemuda yang membawa hidangan.

Dua orang tadi mula merasa satu persatu hidangan yang dibawa.

“wah, kek ni sedap betul. ” ujar pemuda pertama.

‘haah la, sedap betul. kau tahu siapa buat ni? ‘ pemuda kedua bertanya sambil mulutnya masih mengunyah kek yang masih berbaki dalam mulutnya.

“‘entah, aku pun tak tahu. Apsal kau nak tahu siapa buat. Makan je”‘ ujar pemuda yang membawa hidangan.

“erm…nak tahu la, mesti dia masak pandai , bila masak pandai , boleh buat jadi isteri.” laju sahaja jawapan dari pemuda kedua.

‘eh kau ni, ke situ la pulak. Sebenarnya ,bukan kerja isteri untuk memasak semuanya. Kerja dia hanya menggembirakan kita je. Kita sepatutnya buat kerja-kerja tu. Kita yang perlu bagi makan isteri. Kau ingat tak cerita saidina umar yang hanya senyap ketika dibebelkan oleh isterinya satu hari. dan kemudian ada seorang lelaki bertanya padanya yang juga ada masalah yang sama. Kau tau apa saidina umar jawab?’

“tak” serentak kedua-dua rakannya menjawab.

’saidina umar senyap sebab dia berterima kasih dengan isterinya. Dia kata, isterinya sudah buat semuanya untuk dia. Mendidik anak-anak, membersihkan rumah, memasakkan untuknya dan segala yang berkaitan rumahnya , isterinya yang uruskan sedangkan semua itu bukan kerja isterinya yang patut buat tetapi dirinya. Dia senyap tanda menghargai isterinya sudah buat segalanya yang bukan menjadi tanggungjawab isterinya tetapi dirinya, apa salahnya dia hanya berdiam diri tanda dia menghargai pengorbanan yang telah isterinya lakukan.Biarlah isteriku bersuara. Dia hanya meluahkan keletihannya menguruskan diriku, anak-anakku… Maka, layakkah aku memarahinya mahupun menghentikan suaranya?

Haa, ingat, kalau isteri korang nanti memasak tu, adalah satu bonus untuk korang. ‘ teguran ikhlas dari pemuda pertama buat rakan-rakannya walaupun dia sendiri masih tidak punya isteri.

“wah, beratnya macam tu perkahwinan ni ek?…”

‘yup, sebab tu takleh main-main. Itu hanya satu bahagian.’

“kalau macam tu, aku malas la nak kahwin. Semua benda kita kena buat.”

‘Haih kau ni, macam tu pulak. Jangan macam tu, perkahwinan ni dia mencukupkan agama pada diri kita. Hanya tinggal taqwa je perlu ditambah baikkan jika kita sudah berkahwin nanti. Maka akan terpenuhlah agama yang ada pada diri kita. Nabi kita pun berkahwin, takkan kita yang mengaku ummat pada Nabi tidak mahu mengikut sunnahnya?’

“hmm..ok..kalau macam tu, banyak la ye kena buat persediaan dari sekarang. Tak boleh mengharap sangat pada isteri buat kerja-kerja rumah, kalau dapat yang macam tu, dikira bonus untuk diri. Terima kasih sebab membetulkan cara pandang aku pada perkahwinan. Aku dulu pandang sinis pada perempuan yang tak tahu memasak,tapi sekarang aku yang rasa malu sebab tak reti masak. kahkahkah.”

Mereka semua ketawa sambil terus menikmati juadah yang terhidang.
——————————————————————————————
Ujian
Di suatu tempat, suasana riuh rendah dengan sorakan penonton. Suatu pertandingan seni silat baru sahaja selesai. Saat kemuncak sedang berlangsung, pemberian hadiah kepada pemenang. Setelah mengambil hadiah dari pihak penganjur, pengacara majlis menjemput pemenang datang ke podium untuk ditemu bual.

“Pertama sekali saya ucapkan tahniah kepada adik kerana berjaya memenangi kejuaraan seni silat di bawah 15 tahun ini. Sebelum kita meneruskan lagi upacara ini, ingin abang tanya pada adik, dan pastinya hadirin semua juga ingin mengetahui apakah yang adik bacakan setiap kali sebelum masuk gelanggang untuk bertarung?” soal pengacara dengan disertai sorakan para penonton. Riuh suasana hari itu.

‘ saya berdoa ‘ jawapan ringkas dari si kecil. Umurnya baru mencecah 13 tahun.

“apakah yang adik doakan?” soal pengacara lagi. Suasana riuh semakin reda.

‘erk.. ‘ teragak-agak sang juara untuk berkata tentang isi doanya. Setelah ditarik nafas dalam-dalam, dia mula berkata.

‘ Saya berdoa agar saya tidak menangis ketika kalah. ‘ kata sang juara merendah diri.

Suasana dewan yang tadinya riuh dengan sorakan diam serta merta. Semuanya semakin tertarik dengan jawapan si kecil ini.

“Mengapa adik berdoa begitu?” soal pengacara yang turut diangguk sama oleh hadirin yang hadir menandakan bahawa mereka juga jika boleh ingin turut sama bertanyakan soalan yang sama.

‘’saya doa begitu kerana saya tahu semua orang mahu menang, dan saya tahu diri saya terlalu kerdil untuk meminta kemenangan. Dan jika semua berdoa kemenangan, pasti mereka lebih layak untuk menang, dan apa yang perlu bagi saya adalah untuk menghadapi rintangan, memerlukan bimbingan dan petunjukNYA. Saya yakin bahawa setiap ujian akan meningkatkan nilai dan kedewasaan seseorang, jadi yang penting bagi saya adalah untuk kekal tidak menangis ketika kalah, dan perlukan kekuatan dari Allah untuk melalui detik-detik itu serta sedar ianya adalah bimbingan dari Tuhan agar saya merasa diri ini serba kekurangan.” lembut suara sang juara menuturkan jawapan yang menyebabkan sekalian hadirin tunduk mengakui inilah sang juara sebenar.

‘Begitulah ucapan sang juara kita, tuan-tuan dan puan-puan menyaksikan sendiri inilah rahsia seorang juara yang kita nanti-nanti. Tepukan sekali lagi untuk juara kita’

Semua hadirin bangun sambil bertepuk tangan serta sorakan dari penonton-penonton membuatkan suasana menjadi riuh kembali. Masing-masing mendapat satu nilai yang sangat berharga dari si kecil, yang diri masing-masing masih punyai banyak kekurangan dalam mencukupkan syarat kemenangan

08 April 2011

Di bawah ini disertakan satu kisah yang menarik, kiriman seorang kawan untuk dikongsi bersama.

Pada satu zaman ada seorang raja yang amat zalim. Hampir setiap orang pernah merasakan kezalimannya itu. Pada suatu ketika, raja zalim ini tertimpa penyakit yang sangat berat. Maka seluruh tabib yang ada pada kerajaan itu dikumpulkan.
Di bawah ancaman pedang, mereka disuruh untuk menyembuhkannya.

Namun sayangnya tidak ada satu tabib pun yang mampu menyembuhkannya.

Hingga akhirnya ada seorang rahib yang mengatakan bahawa penyakit sang raja itu hanya dapat disembuhkan dengan memakan sejenis ikan tertentu, yang sayangnya saat ini bukanlah musimnya ikan itu muncul ke permukaan. Betapa gembiranya raja mendengar khabar ini.Meskipun raja menyedari bahwa saat ini bukanlah musim ikan itu muncul ke permukaan namun disuruhnya juga semua orang untuk mencari ikan itu.
Aneh bin ajaib ... walaupun belum musimnya, temyata ikan itu sangatlah mudah ditemukan. Sehingga akhirnya sembuhlah raja itu dari penyakitnya.

Di lain waktu dan tempat, ada seorang raja yang amat terkenal kebijaksanaannya. Ia sangat dicintai oleh rakyatnya.

Pada suatu ketika, raja yang bijaksana itu jatuh sakit. Ternyata kesimpulan para tabib sama,yaitu ubatnya adalah sejenis ikan tertentu yang saat ini sangat banyak terdapat di permukaan laut. Kerana itu mereka sangat optimis rajanya akan segera pulih kembali.

Tapi apa yang terjadi? Ikan-ikan yang seharusnya banyak dijumpai di permukaan laut itu, tidak ada satu pun yang nampak. Walaupun pihak kerajaan telah mengirimkan para ahli selamnya, tetap saja ikan itu tidak berhasil diketemukan. Sehingga akhirnya raja yang bijaksana itu pun mangkat.

Dikisahkan para malaikat pun kebingungan dengan kejadian itu. Akhirnya mereka menghadap Tuhan dan bertanya,
" Ya Tuhan kami, apa sebabnya Engkau mengirim ikan-ikan itu ke permukaan sehingga raja yang zalim itu selamat, sementara pada waktu raja yang bijaksana itu sakit, Engkau menyembunyikan ikan-ikan itu ke dasar laut sehingga akhirnya raja yang baik itu meninggal?
Tuhan pun berfirman,"Wahai para malaikat-Ku,sesungguhnya raja yang zalim itu pernah berbuat suatu kebaikan. Kerana itu Aku balas kebaikannya itu, sehingga pada waktu dia datang menghadap-Ku,tidak ada lagi kebaikan sedikitpun yang dibawanya. Dan Aku akan tempatkan ia pada neraka yang paling bawah! Sementara raja yang baik itu pernah berbuat salah kepada-Ku, kerana itu Aku hukum dia dengan
menyembunyikan ikan-ikan itu, sehingga nanti dia akan datang menghadap-Ku dengan seluruh kebaikannya tanpa ada sedikit pun dosa padanya, kerana hukuman atas dosanya telah Kutunaikan seluruhnya di dunia!"

Kita dapat mengambil beberapa pelajaran dari kisah ini.

Pelajaran pertama adalah:

Ada kesalahan yang hukumannya langsung ditunaikan Allah di dunia ini juga, sehingga dengan demikian di akhirat nanti dosa itu tidak diperhitungkan-Nya lagi. Keyakinan hal ini dapat menguatkan iman kita apabila sedang tertimpa musibah.

Pelajaran kedua adalah:

Apabila kita tidak pernah tertimpa musibah, jangan terlena. Jangan-jangan Allah menghabiskan tabungan kebaikan kita. Keyakinan akan hal ini dapat menjaga kita untuk tidak terbuai dengan lazatnya kenikmatan duniawi sehingga melupakan urusan ukhrowi.

Pelajaran ketiga adalah:

Musibah yang menimpa seseorang belum tentu kerana orang itu telah berbuat keburukan. Keyakinan ini akan dapat mencegah kita untuk tidak berprasangka buruk menyalahkannya, justeru yang timbul adalah keinginan untuk membantu meringankan penderitaannya.

Pelajaran keempat adalah:

Siapa yang tahu maksud Allah?Wallahu'alam.